Wanita Berdaya Selangor

Sidang Wanita Selangor (SIWANIS)

PENGENALAN

Sidang Wanita Selangor 2023 atau SIWANIS yang julung kali diadakan di negeri Selangor merupakan program simulasi Sidang Dewan Negeri Selangor anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan kerjasama Institute for Research and Development of Policy (IRDP).

Program SIWANIS diadakan bertujuan mengumpulkan wanita dalam satu platform bagi mengasah keupayaan serta mencungkil bakat kepimpinan terutamanya di peringkat pembuatan keputusan selaras dengan aspirasi Matlamat 4 Dasar Wanita Selangor iaitu mempercepatkan penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan dalam kehidupan awam dan politik dalam kalangan wanita.

Seramai 56 peserta telah terpilih dan diangkat sebagai perwakilan SIWANIS. Perwakilan juga menjalani dua siri bengkel persediaan dengan modul pembinaan kapasiti termasuk pendedahan memahami isu-isu dasar menerusi lensa gender dan tadbir urus. Perwakilan juga didedahkan dengan proses Sidang Dewan Negeri serta peranan dan fungsi sebenar sebagai Ahli DUN.

Sidang Kemuncak SIWANIS yang telah dilaksanakan pada 12 Mac 2023 yang lalu memberikan ruang kepada para perwakilan membahaskan dua usul utama iaitu Akses Pendidikan Kepada Anak-Anak Tanpa Kewarganegaraan dan Minima 30 Peratus Kuota Wanita Di Semua Peringkat Pembuatan Keputusan.

OBJEKTIF

Platform pendedahan kepada bakal pemimpin wanita di Selangor tentang isu dan dasar serta tadbir urus yang baik ke arah kesaksamaan gender seiring dengan pembangunan negeri Selangor yang inklusif, adil dan saksama.

Bagi berkongsi pemahaman dan pembangunan kapasiti kepimpinan ke arah 30 peratus kuota perwakilan wanita sebagai pembuat keputusan dan dasar.

Untuk meningkatkan keupayaan dan jaringan kepimpinan dalam kalangan wanita di Selangor.

Buku Laporan Sidang Wanita Selangor 2023 (SIWANIS)

PEMBERDAYAAN • PROGRESIF • INKLUSIF
ms_MY