O R K I D

Hanya dengan jarum dan benang, kita masih boleh membantu orang.

Semuanya bermula dengan lidi dan tali rafia.

Di sekolah, waktu rehat, saya selalu meluangkan masa dengan seorang kawan yang sudah boleh mengait, dia boleh buat set semua, jadi saya tengok dia buat. Waktu itu, tidak mampu nak beli jarum dengan benang kan, jadi terfikir apa idea alternatif yang boleh dilakukan; saya ambil lidi yang keras, dengan tali rafia yang dibelah, campur guna idea sendiri. Saya belajar mengait daripada kawan waktu rehat, tengok dia mengait, dan memori visual terbina dari situ. Kebetulan juga, dapat guru seni yang suka menjahit, benda itu menjadi sumber inspirasi. Dulu emak berniaga, tali rafia dulu dibeli, bukan macam hari ini. Bukan sudah siap (ready-made), kena potong-potong, kemudian jahitlah pakai lidi. Perlahan-lahan, saya mula kumpul duit, beli benang. 

Produk pertama yang dikait, chair back dengan set meja, bentuk bunga raya. Masih ada lagi di rumah mak. Memori 39 tahun lepas, kan.

Mengalirkan Kebaikan

Satu ketika, saya pernah jatuh sakit selama 2 bulan. Setelah sembuh, saya pasang niat untuk mengajar cara membuat sulaman kopiah. Ketika itu saya masih cetek ilmu digital dalam pembuatan video semua, jadi saya tulis. Saya tulis, sebagaimana dalam makanan kita kira sukatan lah kan, dalam sulaman, berapa diagram, cara pegang jarum, berapa tali air semua itu, saya tulis, sampai siap. Kemudian, saya sedekah pada orang. Saya pernah dengar, dengan sedekah, Tuhan akan buka pintu rezeki kita. Saya sedekah, siapa nak buat kopiah, ambillah, dan agihkan benda itu kepada orang lain juga.

Supaya pahala, ilmu, kebaikan itu mengalir.

Lena Nayan, atau lebih mesra dengan sapaan Lena Crochet Cun atau Tok Umi merupakan penuntut di Akademi Kepimpinan Wanita (AKW). Beliau kini bertugas sebagai Pegawai Khas di Pusat Khidmat Masyarakat N42 Dun Meru Klang dan terus bergiat aktif dalam mengajar seni kait/krusye/ crochet kepada wanita Selangor.

Dilahirkan  pada 18 Nov 1969 di Jalan Yadi, Klang. Nak bagi semangat datang, saya cakap umur saya 15 tahun, awet muda katanya. Saya sudah berumur 51, anak 6, cucu 3 orang. Adik beradik seramai 13 orang, saya yang ketiga.

Sekitar tahun 2010 ke 2011, saya ada buat satu kumpulan (group) membuat kopiah yang menerima tempahan dari pihak Aman Palestin. Masa itu, tiada teknologi WhatsApp lagi, jadi kita buat kumpulan di Facebook. Mereka yang menyertai, buat ikut tunjuk ajar diagram. Pelajar saya terdiri daripada para wanita dan juga bapa tunggal. Kami sekadar berinteraksi secara alam maya. Kami dapat pesanan dari Aman Palestin dalam 5000 keping juga lah. Afdlin Shauki ada pakai, dan pesan dengan kita juga. Jangan ingat kita hanya berbekalkan jarum dan benang, tidak boleh membantu orang!


Antara cabaran yang dilalui, masa buat Aman Palestin, deposit tidak mencukupi masa buat kerja, sampai hampir jadi kes polis lah. Bayaran dapat, cuma mengambil sedikit masa. Dalam kejadian itu, saya pernah dituduh scammer. Jadi dalam projek seterusnya, saya lebih berhati hati. Saya temuduga mereka yang betul-betul berminat, tanya apa niat, visi dan misi mereka.

Beg tangan sulaman yang direka kemas dengan rona benang biru dijual pada harga pasaran RM150. Produk digayakan kakitangan WBS, Ummi Hasanah Zaidon.

Aspirasi saya untuk membudayakan seni mengait di kalangan warga tempatan. Terapkan dalam sistem pendidikan, jadikan ini salah satu komponen kokurikulum untuk mendedahkan kepada bakat pelapis zaman dari usia muda.

Bila saya imbas kembali, saya tidak sangka YB Dr Siti Mariah beri sokongan, Tanjung Suri angkat produk ini, apa yang saya impikan tercapai. Alhamdullilah.

Kita perlukan sokongan politik (political power) juga untuk menggerakkan aspirasi sebegini. Kami ada sebuah NGO, Pertubuhan Jemari Crocheter Warisan Selangor dan saya adalah Pengerusi. Pertubuhan Jemari ini tertubuh daripada idea permintaan sekumpulan warga emas, minta diajar kelas sulaman untuk senaman jemari, kata mereka. Baru-baru ini, kami juga dapat kelas mengajar anak-anak yatim, untuk pemegang topeng muka (face mask), rezeki PKP. Juga ada asnaf, B40, gelandangan, jadi seni kait / krusye ini berkembang.

Buat gerak kerja sebegini, saya rasa kita perlu jujur. Insyaallah Tuhan akan permudahkan jalan. Misi dan visi saya kalau boleh, mahu angkat seni ini pergi ke luar negara. Biar Malaysia terkenal dengan seni kaitan/ krusye. Aspirasi saya untuk membudayakan seni mengait / krusye di kalangan warga tempatan. Terapkan dalam sistem pendidikan, jadikan ini salah satu komponen kokurikulum untuk mendedahkan kepada anak-anak pelapis zaman dari usia muda. Pernah juga simpan angan-angan untuk menjadi Menteri Krusye, mana tahu jadi kenyataan. *gelak kecil


Penemuduga: WBS Ummi Hasanah Zaidon

Fotografi: Khatulisjiwa Studio

Mengambil inspirasi daripada nama bunga rasmi ibu kota Shah Alam, WBS memperkenalkan laporan tahunan kami yang pertama, ORKID. Selami kisah wanita hebat Selangor dari pelbagai latar hidup untuk inspirasi anda. Majalah ORKID versi elektronik boleh dibaca dengan klik pada pautan gambar laporan di atas, dengan pengalaman membaca yang lebih baik menggunakan Tablet atau Ipad.. #selamatmembaca!