O R K I D

Dididik untuk berdikari sejak kecil, jiwa usahanita milik Nuradiana Kamarudin, 32 terserlah daripada tutur kata bicara dan corak pemikirannya. Mengimbau kenangan kecil dibesarkan keluarga di Johor, berniaga bersama ibu dan belajar ilmu pendawaian bersama bapa, impian berniaga di bawa ke alam dewasa bersama suami dengan perniagaan gunting rambut RJ Barber.

Kisah RJ Barber bermula apabila suami ada bakat potong rambut dan dia terbiasa memotong rambut anak-anak. Kami ambil inisiatif jadikan perniagaan- bermula dari kecil-kecilan tepi jalan, kemudian beroperasi dari rumah, perlahan-lahan buat simpanan sehinggalah termaterialisasi sebuah kedai ini. Itulah bermula RJ Barber- Rahim Jalil, nama suami saya sendiri.

Ini kedai pertama, dan satu-satunya, tiada cawangan. Kita sudah beroperasi dalam setahun dua bulan, sekitar Oktober 2019. Kalau ikutkan sejarah perkhidmatan, RJ Barber bermula pada 2016. Kawan-kawan hendak potong rambut, datanglah ke rumah di Orkid Apartment. “Duduk rumah stratakan, tidak berapa kena perkhidmatan sebegitu. Jadi kami menyimpan duit untuk menyewa satu kedai. Dipermudahkan Pencipta, dapatlah kami berniaga tanpa sebarang pinjaman. Semuanya berbekalkan simpanan.

Untuk kedai ini, kita mula dari kosong. Kecuali kerja kimpalan, pendawaian dan dekorasi semua kita buat sendiri.”

Macam elektrik, percikan api keserasian itu ada.

Saya ambil kursus kejuruteraan elektrik, suami pula pun ada ambil sijil kemahiran yang sama. Dua-dua boleh buat pendawaian. Jadi, macam arus elektrik, orang kata percikan api keserasian itu ada. Faktor ini juga dieratkan lagi dengan kebolehan saya mengurus dan melayan kerenah anak-anak.

Dari situ, kepercayaan diberi untuk saya turut mengurus bahtera perniagaan kami. Saya dan suami, beliau ada teori, dan saya lebih praktikal. Dia banyak idea dan buah fikiran, tetapi dari aspek pelaksanaan, saya kena bantu. Kami adalah satu pasukan. Benarlah kata-kata di belakang seorang lelaki, adanya wanita.

Sayalah di belakang dia.

Saya tengah-tengah, anak nombor tiga, ada dua abang dan dua adik lelaki. Ayah dulu ada buat kerja pendawaian di Telekom Malaysia, bilamana habis sekolah, dia akan bawa kami adik beradik tolong dia. Memori tercipta dengan memanjat tangga, pokok, bertukang, semua sama-sama. Keluarga sudah ajar kemahiran dari kecil. Semua sama rata, anak lelaki dan perempuan. Abang saya pandai masak, adik saya pun pandai masak , saya pandai mendawai.

Sejak sekolah rendah, emak saya berniaga nasi lemak, membantu ringankan tugas ayah yang mencari nafkah untuk kami sekeluarga sebagai Pengawal Keselamatan di TM. Saya membesar terbiasa belajar sambil membantu keluarga. Jadi, saya besarkan anak-anak sekarang dengan cara sepertimana saya dulu. Dalam pengalaman perniagaan, dulu pernah tular perniagaan udang galah seringgit yang saya usahakan di Ampang. Hasil perniagaan dalam 3 bulan, saya berjaya beli sebuah van tunai berharga RM 7,000. Mengimbau kembali detik bertemu suami, dia cadangkan saya mula berniaga apa yang boleh, semampu saya sambil membesarkan anak-anak. Langkah pertama saya di situ bermula dengan perniagaan dari bonet kereta. Saya perasan bila saya dijentik dengan sesuatu perkara, saya akan cuba sepenuhnya.

 

Covid memang mencabar kita semua.

Untuk bayaran sewa kedai dan gaji pekerja, macam-macam saya lakukan. Saya jadi ejen produk tenusu Farm Fresh. Saya pulun waktu bulan puasa sampai jadi penjual teratas stockist. Komisen macam dapat duit raya hari itu. Menyesal? Tidak sama sekali. Saya PANDANG KE HADAPAN. Jika ditanya sekarang, saya sudah ada perancangan untuk 6 bulan ke depan, 2021. Kita buat Plan A ni, kalau tak jadi, Yana ada Plan B. He called me Dinda, and I called him Kanda. So I told Kanda, the whole plan we have for the business and family. Alhamdulliah, all goes smooth. Percanggahan pendapat itu ada, tapi alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

Bawa bersama-sama. Itu definisi saya pada wanita berdaya. Saya perlu wanita itu sama-sama maju dengan saya. Itu memang saya pegang. Berjaya, boleh mencuba sesuatu yang baru sampai berjaya. Kalau gagal sekali, tidak bermakna gagal selamanya. Perlu OPTIMIS. Wanita itu perlu berani mencuba sesuatu yang baru. Sudah cuba, kalau dilanda badai dan sebagainya, jangan gentar. JALAN TERUS.

Macam sahabat saya sejak bujang, sebelum kenal suami, saya kenal dia dahulu. Mengharungi jerih kehidupan bersama-sama; 10 tahun persahabatan dan masih berdetik. Dia juga suka berniaga. Dia minat percetakan. Saya sebelah, dia kedai sebelah. Sama-sama berniaga.

Bila saya mulakan perniagaan dan bergaul dengan masyarakat, komuniti mula mengenali dan saya dipelawa menyertai Jawatankuasa Penduduk Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Nama saya seterusnya dilanjutkan untuk permohonan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW). Saya ditemuduga, dan sempat berjumpa YB Dr Siti Mariah. Masih ingat, kena isi borang permohonan, tidak lebih 300 patah perkataan kenapa ingin menyertai AKW. Apa benda aku nak tulis ni? Mencabar juga lah.

Saya tidak menerima sebarang e-mail tentang status permohonan saya. Mungkin ada salah ejaan di alamatnya. Saya dapat tahu permohonan saya berjaya bila Pn Nurafzan beritahu, dia tengok senarai penerima dan nama saya ada. Melompat girang dibuatnya! Masa pergi temuduga, suami temankan. 

Pulang dari tugasan waktu malam, esok dia temankan saya ke PPAS. Tertidur kepenatan dia di sana. Dalam kelas Pn Mastura, dia mengajar penerapan rohani untuk dekatkan diri dengan Pencipta. Saya ketika itu agak sibuk dengan pembukaan kedai, tapi walaupun penat mental dan fizikal, saya dapati kelas beliau sangat memberi inspirasi. Pengajaran berkenaan roda kehidupan dan cara mengimbanginya. Beliau turut mengajar peri penting hormati suami. Walaupun kita Ketua di mana-mana, di 38 rumah, dialah pemimpin kita. 

Menuntut Ilmu

Saya juga suka belajar. Paling saya minati sekarang ini, program Hasbul Brothers. Saya baru habis kursus atas talian Grow Your Business dan banyak yang dipelajari.

Usahawan seperti saya dah penat otak, orang kata. Rasa segar bila menghadiri kursus mereka. Dapat idea baru. Saya juga membaca buku Pn Ainon Muhammad sebagai sumber motivasi diri.

Untuk Anak Muda

Jika ada bakat, asah. Selain dari sijil yang tinggi, kemahiran boleh membantu. Kemahiran memasak, gunting rambut, boleh jana pendapatan di waktu getir ini. Jika kerja makan gaji, jagalah kerja itu. Hormati rakan sekerja, majikan.

Jaga adab dan tutur kata.

Kalau diizinkan, saya ada pasang niat untuk memimpin komuniti. Sebab kebanyakan yang datang pada saya, adalah wanita ditindas. Wanita tiada pendapatan, perebutan anak, pelbagai latar belakang sampai ke telinga saya.

Dari segi perniagaan, saya pernah diuji sakit teruk, batuk kering. Pada masa itu, banyaklah tangan yang membantu saya. Saya pasang niat dalam hati, kalau saya sihat, saya hendak bantu komuniti yang pernah membantu saya pada waktu itu. Kalau saya kaya sedikit, rezeki itu
saya akan kongsi. TERLALU MENONJOL ITU TIDAK, BAWA BERSAMA ITU YA.

Saya tidak suka terlalu ke hadapan, sebab kita tidak tahu pandangan mata orang. Saya faham isi hati suami saya, jadi saya tidak mahu terlalu menonjol diri sangat. Itu saya faham.

Penemuduga: WBS Ummi Hasanah Zaidon

Fotografi: Khatulisjiwa Studio

Mengambil inspirasi daripada nama bunga rasmi ibu kota Shah Alam, WBS memperkenalkan laporan tahunan kami yang pertama, ORKID. Selami kisah wanita hebat Selangor dari pelbagai latar hidup untuk inspirasi anda. Majalah ORKID versi elektronik boleh dibaca dengan klik pada pautan gambar laporan di atas, dengan pengalaman membaca yang lebih baik menggunakan Tablet atau Ipad. #selamatmembaca!